Mak Yong
| Nama asli | Tarian Mak Yong |
|---|---|
| Asal usul | Kelantan,Malaysia |
| Persembahan mak yong | |
|---|---|
| Negara | Malaysia |
| Rujukan | 0167 |
| Kawasan | Semenanjung Tanah Melayu |
| Sejarah inskripsi | |
| Inskripsi | 2008 |
Makyong, mak yong atau makyung (Jawi: مق يوڠ, Bahasa Thai: มะโย่ง ma yong) merupakan sejenis tarian Melayu tradisional yang telah diharamkan oleh kerajaan negeri Kelantan dibawah parti PAS. Ia berasal dari Kerajaan Patani iaitu Patani dan Kelantan. Drama tari ini menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja; nama "mak yong" ini dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun. Ia menjadi persembahan harian, Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Patani selatan Thailand; Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang, Johor di Malaysia serta sejauh Kepulauan Riau di Indonesia.
Ia dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga sebagai istiadat raja memerintah dan sebagai cara perubatan merawat orang sakit. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.
Unsur-unsur seni persembahan ini yang penuh mistis menarik rasa tidak senang dalam sesetengah pihak; ia pernah diharamkan di negeri Kelantan sejak ia dipimpin Parti Islam Se-Malaysia pada 1991 dengan alasan "seni ini mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah, seperti pemujaan". Walau bagaimanapun, Mak Yong terus mendapat pengiktirafan di persada dunia apabila UNESCO mengumumkan bahawa Mak Yong diiktiraf sebagai salah satu Mahakarya Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (Intangible Cultural Heritage of Humanity) dari Malaysia pada tahun 2005.