Taman Marin Tun Sakaran

Taman Marin Tun Sakaran ialah sebuah taman marin yang terletak di luar pantai timur Sabah, Malaysia. Ia merangkumi pulau Bodgaya, Boheydulang, Sebangkat dan Salakan, beting pasir Maiga, Sibuan dan Mantabuan, serta terumbu patch Church dan Kapikan. Pada tahun 2004, taman ini telah diwartakan sebagai kawasan ketujuh di bawah Sabah Parks dengan keluasan keseluruhan 350 km².

Kira-kira 2,000 orang tinggal di dalam kawasan taman ini, kebanyakannya terdiri daripada masyarakat orang Bajau Laut, yang menetap di rumah atas air dan perahu di dalam dan sekitar taman marin. Sehingga kini, daripada lapan pulau yang terdapat di kawasan ini, hanya sebuah pulau iaitu Pulau Sebangkat yang mempunyai pemilik serta pemegang geran sah selepas pewartaan pada tahun 2004.