Tā moko
Tā moko merupakan cacahan kekal yang dipakai pada muka dan badan dalam kalangan orang Māori, iaitu masyarakat peribumi New Zealand. Cacahan begini (disebut moko) dilihat sebagai penanda penting seseorang memasuki alam kedewasaan yang turut disertakan upacara tertentu; di mana ia bertindak sebagai tanda pangkat seseorang dalam sesebuah masyarakat serta juga sebagai bahan menarik perhatian untuk bakal pasangan.
Kaum lelaki biasanya dicacah sebegini pada muka, punggung (raperape) dan peha (puhoro), manakala kaum perempuan dicacah pada bibir (kauwae) dan dagu. Cacahan ini biasanya meninggalkan permukaan yang berbekas pada kulit setelah menggunakan pahat khas (uhi). Walau bagaimanapun, kaedah bertatu moden kini turut digunakan untuk menampakkan kesan yang sama pada anggota badan yang diingini.