Tempat berlindung cukai

Tempat berlindung cukai atau syurga cukai (bahasa Inggeris: tax haven) ialah tempat di mana cukai tertentu dilevi (dikenakan) pada kadar yang rendah atau tidak sama sekali.

Individu dan/atau syarikat boleh tertarik kepada kawasan yang mempunyai kadar cukai rendah. Ini mewujudkan situasi persaingan percukaian di antara negara. Jurisdiksi yang berlainan cenderung menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai jenis cukai dan untuk kategori berlainan bagi syarikat dan individu.

Terdapat beberapa takrif mengenai tempat berlindung cukai. Majalah The Economist mengambil takrifan Geoffrey Colin Powell: "Ia ... dikenalpasti sebagai kawasan tempat berlindung cukai dengan kewujudan struktur percukaian yang digubah dan didirikan untuk mengambil kesempatan, dan mengekspoitasi permintaan sedunia bagi peluang mengelakkan cukai." Majalah The Economist mengatakan takrif ini masih tidak termasuk banyak jurisdiksi yang secara tradisinya dianggap sebagai tempat berlindung cukai. Mereka yang lain mengatakan mana-mana negara yang mengubah undang-undang cukai bagi menarik modal asing boleh dianggap sebagai tempat berlindung cukai. Mengikut takrif lain, ciri utama tempat berlindung cukai adalah undang-undang dan langkah lain yang diambil adalah bertujuan untuk mengelak atau menghindari dari undang-undang dan peraturan cukai dari jurisdiksi lain.