Sukan
Sukan (Jawi: سوکن ) adalah sejenis aktiviti fizikal atau permainan. Sering kali berunsur persaingan dan teratur, sukan menggunakan, mengekalkan atau meningkatkan keupayaan fizikal dan kemahiran. Ia juga memberikan keseronokan kepada peserta dan dalam sesetengah kes, hiburan kepada penonton. Terdapat banyak sukan, dengan jumlah peserta yang berbeza, sesetengah dilakukan oleh seorang individu sementara yang lain dilakukan oleh beratus-ratus orang. Kebanyakan sukan berlangsung sama ada dalam pasukan atau bertanding sebagai individu. Sesetengah sukan membenarkan keputusan seri atau draw, di mana tiada pemenang tunggal, dan yang lain menyediakan kaedah pemecah seri untuk memastikan seorang pemenang. Sejumlah pertandingan boleh diatur dalam format pertandingan, menghasilkan seorang juara. Banyak liga sukan melahirkan juara tahunan dengan mengatur perlawanan dalam musim sukan biasa, diikuti dalam sesetengah kes oleh pusingan playoff.
Sukan secara amnya diiktiraf sebagai sistem aktiviti yang berasaskan keatletan fizikal atau ketangkasan fizikal, dengan pertandingan-pertandingan utama yang hanya menerima sukan yang menepati definisi ini. Beberapa organisasi, seperti Majlis Eropah, menolak aktiviti tanpa unsur fizikal daripada diklasifikasikan sebagai sukan. Walau bagaimanapun, beberapa aktiviti yang bersifat persaingan tetapi bukan fizikal menuntut pengiktirafan sebagai sukan mental. Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang menyelia Sukan Olimpik mengiktiraf kedua-dua catur dan bridge sebagai sukan. SportAccord, iaitu persatuan persekutuan sukan antarabangsa mengiktiraf lima sukan bukan fizikal: catur, bridge, dam, Go dan xiangqi. Namun, mereka mengehadkan bilangan permainan minda yang boleh diterima sebagai sukan. Sukan biasanya dikawal oleh set peraturan atau adat, yang berfungsi untuk memastikan persaingan yang adil. Kemenangan boleh ditentukan oleh acara fizikal seperti menjaringkan gol atau melintasi garisan terlebih dahulu. Ia juga boleh ditentukan oleh juri yang memberikan markah elemen persembahan sukan, termasuk ukuran objektif atau subjektif seperti prestasi teknikal atau impresi artistik.
Rekod prestasi selalunya disimpan, dan untuk sukan yang popular, maklumat ini mungkin diumumkan atau dilaporkan secara meluas dalam berita sukan. Sukan juga merupakan sumber hiburan utama bagi mereka yang tidak mengambil bahagian, dengan sukan tontonan menarik ramai orang ke tempat-tempat sukan, dan menjangkau audiens yang lebih luas melalui penyiaran. Pertaruhan sukan dalam sesetengah kes dikawal ketat, dan dalam kes lain menjadi sebahagian penting daripada sukan itu sendiri.
Menurut A.T. Kearney, sebuah firma perunding, industri sukan global bernilai sehingga $620 bilion (RM1.85 trilion) pada tahun 2013. Sukan yang paling mudah diakses dan dipraktikkan di dunia adalah larian, manakala bola sepak adalah sukan tontonan yang paling popular.