Skandal Foto Edison Chen

Skandal foto Edison Chen ialah skandal media pada awal tahun 2008 yang membabitkan pelakon lelaki Hong Kong dan pelbagai pelakon wanita termasuklah Gillian Chung Yan-tung, Bobo Chan Man-woon, dan Cecilia Cheung Pak-zhi.

Pada penghujung bulan Januari 2008, "gambar-gambar yang agak lucah" yang memaparkan Chen dan aktres-aktres tersebut beredar di internet. Skandal itu mula menghiasi muka hadapan akhbar-akhbar tempatan selama beberapa minggu, dan telah menjadi berita antarabangsa.

Di sebalik penerimaan bantuan daripada Interpol, polis Hong Kong tidak mampu membendung penyebaran gambar-gambar itu. Pada 12 Februari 2008, 10 orang telah ditahan akibat terlibat dalam penyebaran gambar-gambar itu. Tindakan keras polis itu sebaliknya meningkatkan persoalan terhadap pelanggaran hak-hak privasi dan kebebasan bersuara para pengguna internet. Cara para pelakon yang terlibat, pihak pengurusan mereka dan polis mengendalikan situasi itu hanya menyebabkan mereka yang ditahan bertukar kepada hero dan syahid bagi sesetengah warga internet (netizen).

Chen mengakui bahawa gambar-gambar itu ditangkapnya dan dimilikinya, dan menyatakan bahawa gambar-gambar peribadi itu telah dicuri dan disiarkan secara haram tanpa keizinannya. Dia memohon maaf secara terbuka terutamanya pada wanita-wanita yang terbabit, dan juga mengumumkan bahawa dia akan "berundur secara mutlak" daripada industri hiburan Hong Kong.