Silat Sendeng Malaysia
Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Bukit Kangkar, Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.
Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat Melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang–perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lean dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian.
Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari pula adalah peringkat rahsia, dimana hanya pesilat yang dinilaikan layak oleh Guru akan dapat mempelajarinya. Ia digelarkan sebagai 'bekal guru', yang mana ilmu ini diturunkan kepada jurulatih-jurulatih yang dinilaikan layak (dari segi adab, dan kemahiran) dan akan dipertanggungjawabkan mengendalikan gelanggang.
Pada 13hb Julai 2009 bertempat di Ledang, Johor, perguruan silat ini telah diistyharkan oleh YAB Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor, sebagai silat rasmi negeri Johor.
Pada tahun 2010, pendaftaran Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia telah terbatal akibat daripada kepincangan pihak pengurusan pada ketika itu. Untuk terus bergerak dengan sah, waris Allahyarham Mahaguru Hj. Abd Hamid iaitu Encik Ahmad Nazari yang mana pada ketika itu ialah YDP Sendeng Malaysia (negeri Johor) dengan segera telah mendaftarkan Persatuan Seni Silat Sendeng Bukit Kangkar pada 31hb Januari 2011.
Akibat dari terbatalnya pendaftaran Pertubuhan Induk pada ketika itu, telah berlaku perpecahan dan banyak gelanggang yang memilih untuk bergerak secara sendiri. Tidak kurang juga ada individu yang memperalatkan nama Allahyarham Mahaguru Pengasas serta nama Sendeng Malaysia untuk kepentingan peribadi. Kita dapat lihat wujud individu-individu yang mengaku sebagai Guru, yang kononnya telah menerima amanah dan mandat memimpin Perguruan ini. Ini merupakan satu era yang amat menyedihkan bagi Sendeng Malaysia. Namun begitu, kasih sayang dan silaturrahim diantara anak-anak Sendeng Malaysia yang setia tidak pernah pudar.
Atas dasar kasih dan sayang kepada Perguruan, pada 31 Oktober 2022, atas usaha YM Guru Utama Cikgu Ahmad Nazari Bin Hj Abd Hamid (Waris Allahyarham Mahaguru Pengasas), Sendeng Malaysia telah didaftarkan semula dengan nama Perguruan Seni Silat Sendeng Malaysia, dengan misi penyatuan semula gelanggang-gelanggang dan persatuan-persatuan kecil yang bergerak sendiri selama ini. Dengan slogan 'Sendeng Bangkit Dan Bersatu', banyak gelanggang dan persatuan yang menyahut seruan penyatuan ini dan bernaung sebagai Gelanggang/Persatuan Bersekutu dibawah PSSSM yang kini diterajui oleh YM Ahmad Nazari Bin Hj Abd Hamid, Guru Utama Perguruan Seni Silat Sendeng Malaysia.
Antara Gelanggang dan Persatuan yang telah bersatu semula ialah :
1. Persatuan Seni Silat Sendeng Bukit Kangkar, Johor.
2. Persatuan Seni Silat Sendeng Batu Pahat, Johor. (Gelanggang Seri Penggaram)
3. Persatuan Seni Silat Sendeng Batu Pahat, Johor. (Gelanggang Seri Ladang)
4. Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid, Pahang.
5. Persatuan Seni Silat Sendeng Segamat, Johor (Gelanggang Kg. Sedeng)
6. Persatuan Seni Silat Sendeng Segamat, Johor (Gelanggang Felda Kemelah)
7. Gelanggang PSSSM Kg. Bekoh, Tangkak, Johor.
8. Gelanggang PSSSM Kg. Telok Rimba, Muar, Johor.
9. Gelanggang PSSSM Felcra Bukit Kepong, Muar, Johor.
10. Gelanggang PSSSM, Kg. Chinchin Hulu, Jasin, Melaka.
11. Gelanggang PSSSM Kolej Mara Seremban, Negeri Sembilan.
12. Gelanggang PSSSM, Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.
13. Gelanggang PSSSM Merah Saga, Sri Damansara, Selangor.
14. Gelanggang PSSSM Sebutir Padi, Kundang, Selangor.
15. Gelanggang PSSSM Dzulfiqar, Meru, Klang, Selangor.
16. Persatuan Seni Silat Sendeng Kg. Baru Bukit Katil, Tangkak, Johor.
Logo Lama
Salasilah Perguruan
Pengertian Seni Silat Sendeng
Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -
SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.
SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.
SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan 'Sendeng' terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.
'SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
'DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.
Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.
Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".