Silat Kuntau Tekpi

Seni Silat Kuntau Tekpi ialah sejenis ilmu mempertahankan diri yang telah lama wujud di Kedah sejak kurun ke-18. Ia dipelopori oleh seorang Panglima Istana bernama Panglima Taib Bin Wan Hussin. Silat ini diajar hanya di kalangan panglima dan pengawal istana serta hulubalang bagi menentang serangan Siam dan musuh lain ketika itu.

Panglima Taib telah mewariskan ilmu ini kepada anak kandungnya bernama Allahyarhamah Siti Aminah yang dikenali dengan gelaran ‘Srikandi Kedah’. Silat ini kemudiannya diwarisi oleh anak nya Allahyarham Pakguru Tuan Haji Zainol Abidin bin Endut dan seterusnya diwarisi pula oleh anak Allahyarham iaitu A.Rani yang kini menjadi Paduka Ayahnda Guru Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia.

Senjata utama silat ini dikenali sebagai tekpi iaitu besi bercabang tiga yang juga telah dikenali sebagai "Raja Segala Senjata" yang telah terbukti boleh mematikan segala senjata tajam.

Silat ini mempunyai kaedah buah-buah pukulan serta tangkapan yang kemas. Semua pergerakan dan tangkisan adalah sesuai dengan pergerakan fitrah diri manusia, tidak mengira peringkat umur, mahupun lelaki ataupun perempuan.

Silat ini menitikberatkan aspek mempertahankan diri sekiranya diserang tetapi akan menyerang sekiranya terdesak.