Shōgun
Pangkat tentera sei-i taishōgun (征夷大将軍, "panglima takluk bangsa gasar") atau ringkasnya shōgun (将軍, ⓘ) berperanan penting dalam sejarah silam negara Jepun. Sebelum abad ke-12, panglima ini hanya diarahkan Maharaja mengetuai tentera yang mempertahankan kerajaan mereka daripada kemaraan orang-orang belum tertakluk kepada kerajaan pusat di kawasan timur seperti peribumi Ainu yang pernah mendiami Honshū di samping Hokkaidō. Nasib ini berubah dengan perampasan kuasa dalam kalangan bangsawan di kota diraja Kyoto oleh ketumbukan samurai diketuai Minamoto no Yoritomo yang mendirikan pemerintahan sendiri pada tahun 1185 sehingga zaman Edo.
Jawatan kepanglimaannya dikatakan suatu "pesanggerahan" (幕府 bakufu) di mana pemegangnya menjalankan tugas-tugas pentadbiran langsung sambil para bangsawan dan maharaja hanya diberikan kedudukan adat dan nama sahaja; kepanglimaan ini turut diwarisi dari bapa ke anak yang sebolehnya berdarah suku Minamoto. Kedudukan ini berakhir apabila Tokugawa Yoshinobu melepaskan jawatannya kepada Maharaja Meiji melaksanakan dasar-dasar pembaharuan baginda pada tahun 1867.