Serangan Mumbai 26 November 2008

Serangan Pengganas di Mumbai 2008

Locations of the attacks
Lokasi Mumbai, India
Tarikh 26 November 2008, 21:20 – 29 November 2008 (IST, UTC +5:30)
Jenis serangan Pengeboman, tembak-menembak, krisis tebusan
Senjata RDX, AK-47, Type 56 dan bom tangan
Kematian 188
Cedera 294
Pelaku Lashkar-e-Taiba

Serangan Mumbai November 2008 ialah satu siri serangan pengganas teratur yang berlaku di Mumbai, iaitu pusat kewangan dan bandar raya terbesar di India. Serangan bermula pada 26 November 2008 dan berakhir pada 29 November 2008 apabila pasukan keselamatan India melancarkan Operasi Black Tornado untuk mengawal semula semua tempat kejadian. Sekurang-kurangnya 188 orang terbunuh menakala sekurang-kurangnya 293 lagi cedera dalam kejadian.

Lapan serangan berlaku di kawasan Mumbai Selatan, iaitu Stesen Keretapi Chhatrapati Shivaji Terminus, Hotel Oberoi Trident, Hotel Taj Mahal Palace & Tower, Leopold Cafe, Hospital Cama, Rumah Nariman milik Yahudi Ortodoks, Metro Cinema, dan sebatang lorong di belakang bangunan Times of India di belakang Kolej St. Xavier. Letupan juga terjadi di limbungan Mazagaon di kawasan pelabuhan Mumbai. Insiden kesepuluh merupakan letupan teksi di Vile Parle berhampiran lapangan terbang, tetapi sebarang kena-mengena dengan sembilan serangan lain adalah tidak jelas.

Pada awal pagi 28 November, kesemua tempat kejadian kecuali Taj Mahal Palace ditawan oleh polis dan pasukan keselamatan. Tindakan yang diambil Pengawal Keselamatan Negara pada 29 November menamatkan kejadian Taj Mahal Palace, sekaligus menamatkan segala pertempuran.

Mula-mulanya, sebuah pertubuhan yang bergelar Deccan Mujahideen mengaku bertanggungjawab. Tidak lama kemudian, Mohammad Ajmal Amir Kasab, iaitu satu-satunya pengganas yang ditawan hidup-hidup, mendedahkan identiti penyerang sebagai ahli-ahli Lashkar-e-Taiba, iaitu pertubuhan militan di Pakistan yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh India, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan lain-lain lagi. Satu perbicaraan mahkamah pada 6 Mei 2010 menjatuhkan hukuman mati terhadap Ajmal Kasab atas lima dakwaan.

Serangan-serangan tersebut dikecam masyarakat dunia.