Senarai Model Ubat Penting WHO
Senarai Model Ubat Penting WHO (atau Senarai Ubat Penting) terbitan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengandungi ubat-ubatan yang dianggap paling berkesan dan selamat untuk memenuhi keperluan terpenting dalam sistem kesihatan. Senarai ini sering digunakan oleh negara untuk membantu membangunkan senarai ubat penting tempatan mereka sendiri. Setakat 2016, lebih daripada 155 negara telah mencipta senarai ubat penting di tahap kebangsaan berdasarkan senarai model Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ini termasuk kedua-dua negara maju dan membangun.
Senarai ini dibahagikan kepada item teras dan item pelengkap. Item teras dianggap sebagai pilihan yang paling jimat kos bagi masalah kesihatan utama, dan boleh digunakan dengan sedikit sumber penjagaan kesihatan tambahan. Item pelengkap sama ada memerlukan infrastruktur tambahan seperti penyedia penjagaan kesihatan terlatih atau peralatan diagnostik, atau mempunyai nisbah kos-faedah yang lebih rendah. Kira-kira 25% item berada dalam senarai pelengkap. Sesetengah ubat disenaraikan sebagai teras dan pelengkap. Walaupun kebanyakan ubat dalam senarai tersedia sebagai produk generik, perihal ubat di bawah paten tidak menghalang kemasukan.
Senarai pertama diterbitkan pada 1977, dan terdiri daripada 208 ubat. WHO mengemas kini senarai setiap dua tahun. Terdapat 306 ubat dalam senarai ke-14 pada 2005, 410 dalam senarai ke-19 pada 2015, 433 dalam senarai ke-20 pada 2017, 460 dalam senarai ke-21 pada 2019, dan 479 dalam senarai ke-22 pada 2021. Pelbagai senarai kebangsaan mengandungi antara 334 dan 580 ubat. Senarai Ubat Penting (EML) ke-23 telah dikemas kini pada Julai 2023. Senarai ini mengandungi 1200 cadangan untuk 591 ubat dan 103 setara terapeutik.
Senarai berasingan bagi kanak-kanak berumur sehingga 12 tahun, dikenali sebagai Senarai Model WHO Ubat Penting untuk Kanak-kanak (EMLc), telah dicipta pada tahun 2007 dan berada dalam edisi kesembilannya. Ia dicipta untuk memastikan keperluan kanak-kanak dipertimbangkan secara sistematik seperti ketersediaan formulasi yang betul. Semua dalam senarai kanak-kanak juga termasuk dalam senarai utama. Senarai dan nota adalah berdasarkan edisi ke-19 hingga ke-23 senarai utama. Huruf α menunjukkan ubat berada dalam senarai pelengkap. Alternatif terapeutik dengan prestasi klinikal yang serupa disenaraikan untuk beberapa ubat dan ia mungkin dipertimbangkan untuk senarai ubat penting nasional. Senarai Ubat Penting Kanak-Kanak Ke-9 telah dikemas kini pada Julai 2023.