Sempadan tumpu
Sempadan tumpu (juga dikenali sebagai sempadan memusnah) ialah kawasan di Bumi tempat dua atau lebih keping litosfera berlanggar. Satu keping akhirnya menggelongsor di bawah yang lain, proses dikenali sebagai pembenaman. Zon benam boleh ditakrifkan oleh satah tempat banyak gempa bumi berlaku, dipanggil zon Wadati–Benioff. Perlanggaran ini berlaku pada sakla berjuta-juta hingga berpuluh-puluh juta tahun dan boleh membawa kepada volkanisme, gempa bumi, orogenesis, kemusnahan litosfera, dan canggaan. Sempadan tumpu berlaku di antara litosfera lautan-lautan, litosfera lautan-benua, dan litosfera benua-benua. Ciri geologi berkaitan dengan sempadan tumpu berbeza-beza bergantung pada jenis kerak.