Perkhidmatan kereta api antarabandar
Perkhidmatan kereta api antarabandar ialah kereta api ekspres yang menjalankan perkhidmatan menghubungkan bandar-bandar merentasi jarak yang lebih jauh berbanding dengan kereta api komuter atau Kereta api tempatan. Ia merangkumi perkhidmatan kereta api yang bukan kereta api komuter jarak dekat dalam satu kawasan bandar mahupun kereta api wilayah yang perlahan dan berhenti di semua stesen serta hanya meliputi perjalanan tempatan.
Kereta api antara bandar lazimnya ialah kereta api ekspres dengan hentian terhad dan gerabak yang selesa untuk perjalanan jarak jauh. Perkhidmatan kereta api antara bandar kadangkala turut menyediakan perkhidmatan antarabangsa. Hal ini paling ketara di Eropah disebabkan kedekatan 50 buah negaranya dalam kawasan seluas 10,180,000 kilometer persegi (3,930,000 batu persegi). Eurostar dan EuroCity merupakan contohnya.
Di banyak negara Eropah, perkataan InterCity atau Inter-City ialah nama jenama rasmi bagi rangkaian perkhidmatan kereta api berkala yang tetap dan merangkumi jarak yang agak jauh serta memenuhi kriteria tertentu dari segi kelajuan dan keselesaan. Penggunaan istilah ini bermula di United Kingdom pada tahun 1960-an dan telah banyak ditiru.