Sampah angkasa

Sampah angkasa, serpihan angkasa atau reja angkasa (space debris, space waste atau space junk) ialah sisa-sisa bahan buatan manusia terpakai yang ditinggalkan di angkasa lepas seperti satelit lama dan sisa bahagian roket yang tertanggal hasil penguraian, hakisan mahupun pelanggaran dengan objek lain, serpihan-serpihan yang berkecaian ini boleh kekal terapung berselerak dalam orbit Bumi atau boleh memasuki semula batasan atmosfera Bumi. Sebanyak hampir 20,000 objek buatan manusia yang cukup besar dijejaki berlegaran di orbit atas Bumi setakat Oktober 2019 termasuk 2,218 buah satelit yang masih beroperasi.

Sisa-sisa reja ini sendirinya boleh mendatangkan bahaya kepada kapal angkasa yang lalu-lalang di mana sebarang pelanggaran boleh menyebabkan tercalar komponen panel suria dan alat optik seperti teleskop (yang tidak dapat diberikan perlindungan yang seeloknya atas sebab tertentu) malah jauh boleh objek angkasa itu sendiri musnah berkecai. Kadar kemungkinan pelanggaran reja-reja ini yang meninggi juga boleh menyebabkan orbit Bumi tidak boleh ditembusi sekiranya keadaan ini berterusan tanpa wujudnya pengurusan yang sesuai. Pengurusan serta pembersihan sisa-sisa ini ada digiatkan beberapa pihak yang menumpukan kepada hal ini.