Racun nematod
Racun nematod ialah racun kimia yang digunakan untuk membunuh nematod. Kawalan nematod secara kimia bukanlah satu kaedah baru. Penggunaan karbon disulfida untuk mengawal nematod dalam kawasan tanaman gula bit di Jerman telah bermula sejak abad ke-17 lagi. Kawalan dengan menggunakan racun nematod mula mendapat perhatian apabila kaedah lain tidak memberi kesan yang memuaskan. Menurut Taylor (1975), penggunaan bahan-bahan kimia dalam mengawal nematod lebih ekonomis dan berkesan berbanding dengan cara-cara lain.
Di Malaysia penggunaan racun nematod tidak banyak seperti racun-racun lain. Petani tidak begitu menyedari akan bahaya ancaman nematod. Ini adalah kerana kebanyakan penyakit tumbuhan sering dikaitkan dengan agen-agen penyakit yang lain. Penggunaan racun nematod selalunya terhad di rumah-rumah hijau atau tanaman dalam pasu sahaja. Tambahan pula racun nematod agak merbahaya, oleh itu ia tidak sesuai digunakan oleh para petani yang kurang memahami teknik-teknik penggunaannya.