Kod QR

Kod QR ("QR" singkatan frasa bahasa Inggeris quick response. "tindak balas cepat") adalah sejenis kod bar generasi kedua. Ia merupakan sejenis penyimbolan dua dimensi yang telah dibangunkan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Denso Wave dan telah dikeluarkan pada tahun 1994. Kod QR dapat menyimpan maklumat lebih banyak daripada kod bar Kod Produk Sejagat (Universal Product Code, UPC) biasa kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar. Kod ini terdiri daripada modul hitam (titik segi empat) disusun dalam pola segi empat pada latar putih. Penggunaan kod QR membolehkan maklumat dihantar dari dunia fizikal ke alat mudah alih.

Penggunaan kod QR bebas daripada sebarang lesen. Ia kini diterbitkan sebagai piawai ISO.