Polemik kedudukan bahasa Melayu di Malaysia

Polemik tentang status dan kedudukan bahasa Melayu sering kali berlaku dan tidak putus-putus mengalami tamparan dan bual bicara daripada pelbagai pihak. Bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Melayu Piawai merupakan bahasa kebangsaan negara tersebut yang mengikuti piawaian ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahasa Melayu ini lebih daripada 90% kognitif dengan Bahasa Indonesia dan dituturkan oleh lebih daripada 24 juta penutur di Malaysia sebagai bahasa ibunda. Manakala bakinya kira-kira 10 juta orang bertutur Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Namun begitu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, jelas menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu", ini membuatkan jenama bahasa Malaysia itu belum apa-apa lagi sudah dipersoalkan walaupun bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak tahun 1957. Ia juga sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia yang merdeka.

Namun, selepas lebih daripada 50 tahun negara tersebut merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda daripada kaum Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah lebih banyak jawatan negara tersebut yang antaranya memerlukan kefasihan dalam bahasa Cina dan Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam sektor swasta. Populasi masyarakat berbangsa Cina Malaysia mengikut keputusan Banci Penduduk di Malaysia hanya 22.5% daripada keseluruhan penduduk rakyat Malaysia berjumlah 34 juta orang. Sebahagian besar daripada penduduk negara tersebut iaitu 71.4% adalah daripada kalangan kaum Melayu dan Bumiputera yang rata-rata daripada mereka menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.