Pneumonia
| Pneumonia | |
|---|---|
Nama lain | Pneumonitis |
| X-ray dada peparu pneumonia akibat influenza dan Haemophilus influenzae, dengan konsolidasi bertompok-tompok putih, terutamanya di lobus atas kanan (anak panah) | |
| Sebutan |
|
| Pengkhususan | Pulmonologi, Penyakit berjagkit |
| Gejala | Batuk, sesak nafas, pernafasan cepat, demam |
| Tempoh | Beberapa minggu |
| Punca | Bakteria, virus, sedutan |
| Fibrosis sista, COPD, asma, kencing manis, kegagalan jantung, sejarah merokok, umur yang sangat muda, umur tua | |
| Berdasarkan simptom, imbasan sinar-X dada | |
| COPD, asma, edema pulmonari, embolsime pulmonari | |
| Pencegahan | Vaksin, cuci tangan, tidak merokok |
Rawatan perubatan | Antibiotik, antiviral, terapi oksigen |
| Kekerapan | 450 juta (7%) setahun |
| Kematian | Empat juta setahun |
| sunting | |
Pneumonia (disebut [pnéu.mo.nia]) merujuk kepada keadaan radang paru-paru yang terutama mempengaruhi kantung udara kecil, dikenali sebagai alveoli. Gejala biasanya termasuk beberapa kombinasi batuk berkahak atau kering, sakit dada, demam, dan kesukaran bernafas. Keterukan keadaan ini adalah berbeza-beza.
Pneumonia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria, dan jarang oleh mikroorganisma lain. Mengenal pasti patogen yang bertanggungjawab boleh menjadi sukar. Diagnosis sering didasarkan pada gejala dan pemeriksaan fizikal. X-ray dada, ujian darah, dan kultur kahak boleh membantu mengesahkan diagnosis. Penyakit ini boleh diklasifikasikan berdasarkan lokasi ia diperoleh, seperti pneumonia yang diperoleh di komuniti, hospital, atau yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.
Faktor risiko untuk pneumonia termasuk fibrosis sista, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), penyakit sel sabit, asma, diabetes, kegagalan jantung, sejarah merokok, kebolehan batuk yang lemah (seperti selepas strok), dan sistem imun yang lemah.
Vaksin untuk mencegah jenis pneumonia tertentu (seperti yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae, berkaitan dengan influenza, atau berkaitan dengan COVID-19) tersedia. Kaedah pencegahan lain termasuk mencuci tangan untuk mencegah jangkitan, dan tidak merokok.
Rawatan bergantung pada punca asas. Pneumonia yang dipercayai disebabkan oleh bakteria dirawat dengan antibiotik.Jika pneumonia teruk, individu yang terjejas biasanya dimasukkan ke hospital. Terapi oksigen akan digunakan jika tahap oksigen rendah.
Setiap tahun, pneumonia menjejaskan kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia (7% daripada populasi) dan mengakibatkan kira-kira 4 juta kematian. Dengan pengenalan antibiotik dan vaksin pada abad ke-20, kadar kelangsungan hidup telah bertambah baik dengan ketara. Walaupun begitu, pneumonia tetap menjadi penyebab utama kematian di negara-negara membangun, dan juga dalam kalangan orang yang sangat tua, sangat muda, dan yang mempunyai penyakit kronik. Pneumonia sering memendekkan tempoh penderitaan dalam kalangan individu yang nazak.