Picagari
Picagari (Jawi: ڤيچاݢاري) atau pemanah air ialah sejenis pam berbalik yang kerap digunakan dalam perubatan klinikal untuk memberikan suntikan; membantu dalam terapi intravena peredaran darah serta menarik, menyuntik atau menyukat cecair. Ia terdiri daripada suatu pelocok seakan omboh yang menolak keluar masuk batang tiub silinder agar cecair dapat ditarik masuk atau ditolak keluar suatu lubang kecil di hujung tiub. Hujung terbuka ini pula boleh dipasangkan dengan jarum hipodermik, muncung atau tiub plastik agar cecair dapat dialir keluar dengan baik.
Kata picagari (atau bentuk lama lainnya pecakari) menyerap dari kata Hindi: पिचकारी, rumi: picakārī iaitu suatu alat digunakan untuk memancut atau menyemperut air dalam acara riadah semasa perayaan Holi di India.