Perisian tegar

Dalam sistem elektronik dan pengkomputeran, perisian tegar (dalam bahasa Inggeris: firmware) merupakan gabungan bagi ingatan baca sahaja dan kod atur cara serta data yang tersimpan di dalamnya. Contoh peranti yang mengandungi perisian tegar ialah sistem terbenam (macam lampu trafik dan jam digital), komputer, persisian komputer, telefon bimbit, dan kamera digital. Perisian tegar yang terkandung di dalam peranti-peranti ini menyediakan atur cara kawalan untuknya. Perisian tegar disimpan di dalam peranti-peranti ingatan tak meruap (non volatile) seperti ROM, EPROM, atau ingatan flash. Perisian tegar bagi sesebuah peranti jarang atau tidak akan pernah ditukar sepanjang hayat ekonominya; sesetengah peranti ingatan perisian tegar kekal terpasang dan tidak boleh ditukar selepas pengilangan. Antara sebab-sebab biasa untuk mengemaskini perisian tegar ialah memperbetulkan pepijat atau penambahan ciri pada peranti berkenaan.

Perisian tegar seperti BIOS ROM bagi komputer peribadi mungkin hanya mengandungi fungsi-fungsi asas bagi sesebuah peranti dan mungkin hanya menyediakan khidmat kepada perisian aras tinggi. Perisian tegar seperti atur cara bagi sebuah sistem terbenam boleh jadi satu-satunya perisian yang berjalan pada sistem itu dan menyediakan segala fungsinya.