Perang saraf

Perang saraf, peperangan psikologi atau perang urat saraf, juga dipanggil operasi atau pengendalian psikologi (PSYOP), merupakan strategi perang yang menggunakan psikologi dan propaganda untuk melemahkan semangat musuh dan orang awam serta menghancurkan tekad mereka untuk berperang. Ia digunakan sebelum atau semasa peperangan untuk mencegah atau memenangkan konflik tersebut dengan cara menggertak, mengancam dan menakut-nakuti tanpa perlu benar-benar menyerang dengan senjata secara langsung. Matlamatnya adalah untuk mencapai kemenangan tanpa perlu melibatkan pertempuran fizikal.

Pelbagai teknik digunakan, dan bertujuan untuk mempengaruhi sistem nilai, sistem kepercayaan, emosi, motif, pertimbangan atau tingkah laku sasaran. Ia digunakan untuk mendapatkan pengakuan atau mengukuhkan sikap-sikap dan tingkah laku yang dingini pihak yang melakukan perang saraf, dan kadangkala digabungkan dengan operasi hitam atau taktik bendera palsu. Ia juga digunakan untuk memusnahkan semangat musuh dengan taktik-taktik yang menekan keadaan mental tentera.

Contoh-contoh sasaran termasuk kerajaan, organisasi, kelompok sosial dan individu, bukan sahaja askar. Orang awam di wilayah asing juga boleh disasarkan dengan teknologi dan media untuk memberi kesan terhadap kerajaan negara mereka.

Media komunikasi massa seperti radio membenarkan komunikasi langsung dengan orang ramai dalam kawasan musuh, justeru ia telah diperalat dalam banyak kes. Platform-platform media sosial dan internet membenarkan kempen maklumat salah dan kempen maklumat palsu dilaksanakan oleh ejen-ejen dari mana-mana di dunia.