Pengelasan iklim

Sistem zon iklim merupakan sistem yang mengkategorikan iklim dunia. Pengelasan iklim mungkin berkait rapat dengan pengelasan biom, kerana iklim memberi pengaruh besar terhadap kehidupan serantau. Yang paling banyak digunakan ialah skema pengelasan iklim Köppen yang pertama kali dibangunkan pada tahun 1884.

Terdapat beberapa cara untuk mengklasifikasikan iklim kepada aturan yang serupa. Pada asalnya, cuaca (clime) ditakrifkan sewaktu zaman Yunani Purba untuk menggambarkan cuaca bergantung pada latitud lokasi. Kaedah pengelasan iklim moden boleh dibahagikan secara meluas kepada kaedah genetik yang memberi tumpuan kepada punca iklim, serta kaedah empirik yang memberi tumpuan kepada kesan iklim. Antara contoh-contoh pengelasan genetik termasuklah kaedah berdasarkan kekerapan relatif bagi jenis jisim udara berbeza, atau lokasi dalam gangguan cuaca sinoptik. Antara contoh-contoh pengelasan empirik pula termasuklah zon iklim yang ditakrifkan oleh ketahanan tumbuhan, penyejatpeluhan, atau perkaitan dengan biom tertentu, seperti dalam kes pengelasan iklim Köppen. Kelemahan umum skema pengelasan ini ialah ia menghasilkan sempadan yang berbeza antara zon yang pembangun skema tentukan, dan bukannya peralihan beransur-ansur sifat iklim yang lebih biasa berlaku dalam alam semula jadi.