Pengangkutan rel
Pengangkutan rel (Tulisan Jawi: ڤڠاڠکوتن ريل) ialah sejenis kaedah pengangkutan yang melibatkan kenderaan-kenderaan yang bergerak di atas sebatang landasan. Haluan kenderaan-kenderaan dalam pengangkutan rel ditentukan oleh landasan tersebut secara terus tidak seperti kenderaan-kenderaan darat lain.
Sistem pengangkutan rel terawal telah disahkan wujud sejak abad keenam SM, iaitu ketika zaman Yunani Purba. Pengangkutan rel pada zaman moden terawal pula mula wujud pada abad ke-16 di Jerman yang melibatkan kenderaan funikular yang digerakkan oleh kuda. Pengangkutan rel dibangunkan lagi dengan penciptaan lokomotif stim di Britain pada awal abad ke-19. Kereta api elektrik pula mula wujud pada 1880-an yang membawa kepada permulaan pengelektrikan rangkaian kereta api. Kereta api berkelajuan tinggi elektrik diperkenalkan di Jepun pada 1960-an dan digunakan di beberapa negara lain. Sejak Perang Dunia Kedua, penggunaan pengangkutan rel telah berkurangan tetapi kini mengalami peningkatan permintaan. Hal ini berlaku disebabkan oleh masalah kesesakan trafik serta usaha-usaha untuk menanangi masalah pemanasan global.