Pendapatan asas sejagat

Pendapatan asas sejagat (universal basic income - disingkatkan kepada UBI), wang sara hidup asas (basic living stipend) atau pendapatan tahunan terjamin (guaranteed annual income) adalah rancangan awam dikendalikan sesebuah pemerintahan membayar sejumlah wang pendapatan tertentu kepada semua individu secara berkala tanpa perlunya ujian saraan atau syarat pekerjaan. Pendapatan yang diberi lazimnya:

  • Tanpa syarat: Setiap orang yang sama usia akan menerima pendapatan asas sama tanpa mengira jantina, status pekerjaan, struktur keluarga, sumbangan kepada masyarakat serta kos perumahan antara lainnya.
  • Automatik: Pendapatan asas akan dibayar secara automatik setiap minggu atau bulanan ke dalam akaun bank atau wahana yang serupa.
  • Tidak dapat ditarik balik: Pendapatan asas tidak akan didasarkan saraan - yakni pendapatan asas tidak akan terjejas mahupun berubah dengan meningkat, menurun, atau mendatarnya saraan hidup yang diperoleh.
  • Individu: Pendapatan asas akan dibayar secara individu dan bukan berdasarkan pasangan atau rumah tangga.
  • Sebagai hak: Setiap pemastautin sah akan menerima pendapatan asas tertakluk pada tempoh pemukiman yang sah dan berterusan selama hampir sepanjang tahun.