Pelagak

Perisian pelagak (Jawi: ڤرايسين ڤلاݢق; bahasa Inggeris: emulator) ialah sejenis perisian yang membolehkan suatu atur cara yang direka awalnya dan dijalankan oleh suatu sistem komputer tertentu yang khusus (baik dari segi pembinaan dan sistem pengendalian) dapat dikendalikan dalam sistem komputer lain yang sama sekali berlainan. Sebagai contoh, sebuah atur cara Windows dapat dijalankan pada sistem pengendalian Linux dengan menggunakan perisian pelagak Wine. Ada pula atur cara yang menyelakukan suatu komputer dalam komputer, contohnya VMware. Contoh lain ialah atur cara pelagak untuk menjalankan permainan komputer yang pada mulanya hanya boleh dijalankan pada konsolnya masing-masing. Contohnya ialah perkakas permainan Nintendo, Atari, PlayStation, XBox dan lain-lain.