Palsi Bell
| Palsi Bell | |
|---|---|
| Seorang lelaki cuba menunjukkan gigi dan mengangkat keningnya dengan palsi Bell di sisi kanannya. Perhatikan dahinya yang juga terjejas. | |
| Pengkhususan | Neurologi, Oftalmologi,ENT, pembedahan oral dan maksilofasial |
| Gejala | Tidak mampu menggerakkan otot muka pada satu sisi, perubahan pada deria rasa, sakit di keliling telinga |
Permulaan biasa | Lebih 48 jam |
| Tempoh | < 6 bulan |
| Punca | Tidak diketahuiUnknown |
| Diabetes, baru mengalami jangkitan salur pernafasan atas | |
| Berdasarkan gejala | |
| Tumor otak, strok, Sindrom Ramsay Hunt jenis 2, penyakit Lyme | |
| Rawatan | Kortikosteroid, ubat titis mata, penutup mata |
| Prognosis | Kebanyakan orang pulih sepenuhnya |
| Kekerapan | 1–4 per 10,000 setahun |
| sunting | |
Palsi Bell (Inggeris: Bell's palsy) ialah penyakit lumpuh saraf muka yang menyebabkan ketidakmampuan mengawal otot muka pada sisi yang terkena penyakit ini. Ia selalunya bersifat sementara dan dapat bertambah pulih dalam beberapa minggu. Gelaja boleh menjadi ringan hingga sederhana. Antara petandanya ialah otot menggerenyet, lemah otot, atau tidak dapat mengawal sebelah, atau dalam kes jarang berlaku, kedua-dua belah wajah. Gejala-gejala lain termasuk kening menjadi kuyu, perubahan dalam deria rasa, dan sakit di keliling telinga. Gejala-gejala biasanya datang dalam tempoh 48 jam. Palsi Bell boleh mencetuskan kesensitifan terhadap bunyi yang dipanggil hiperakusis.
Punca palsi Bell tidak diketahui dan boleh berlaku pada mana-mana umur. Faktor yang meningkatkan kemungkinannya termasuk diabetes, baru mengalami jangkitan saluran pernafasan atas dan kehamilan. Ia diakibatkan disfungsi pada saraf kranium VII (saraf muka). Ramai percaya ini disebabkan oleh jangkitan virus yang menyebabkan bengkak. Diagnosis adalah berdasarkan rupa pesakit dan mengetepikan kemungkinan sebab lain. Beberapa keadaan boleh menyebabkan kelemahan muka seperti barah otak, strok, sindrom Ramsay Hunt jenis 2, miastenia gravis dan penyakit Lyme tetapi jika tiada sebab dapat dikenal pasti, keadaan ini dikenali dengan nama palsi Bell.
Palsi Bell biasanya akan pulih dengan sendiri dan ramai pesakit akan kembali berfungsi dengan normal sepenuhnya atau hampir sepenuhnya. Kortikosteroid didapati dapat membantu dalam rawatan, manakala ubat antivirus mungkin mempunyai manfaat tambahan yang kecil. Mata patut dijaga daripada kering dengan menggunakan ubat titis mata atau penutup mata. Pembedahan secara amnya tidak digalakkan. Seringnya tanda-tanda pulih muncul dalam 14 hari manakala pemulihan penuh dicapai dalam enam bulan. Segelintir pesakit mungkin tidak akan sembuh sepenuhnya atau akan mengalami gejalanya semula.
Palsi Bell merupakan punca paling kerap ditemui bagi kelumpuhan saraf sebelah muka (70%). Ia berlaku dalam 1 ke 4 per 10,000 orang setiap tahun. Kira-kira 1.5% orang mengalaminya dalam hidup. Ia paling biasa berlaku pada orang di antara umur 15 dan 60 tahun. Lelaki dan perempuan terkesan dengan sama banyak. Penyakit ini dinamakan sempena ahli anatomi dari Scotland bernama Charles Bell yang pertama kali menjelaskan dengan terperinci hubungan saraf muka dengan keadaan ini.
Biarpun ditakrifkan sebagai penyakit mononeuritis (melibatkan hanya satu saraf), orang yang didiagnosiskan dengan palsi Bell mungkin menghadapi banyak gejala yang berkaitan dengan saraf, termasuk kesemutan muka, sakit kepala/leher yang sederhana atau amat teruk, masalah ingatan, masalah keseimbangan, kebas dan kelemahan tangan kaki di satu belah badan, dan cemerkap yang tidak dapat dijelaskan oleh disfungsi saraf muka.