Orang hanyut Vietnam

Orang hanyut Vietnam (OHV; Vietnam: Thuyền nhân Việt Nam) ialah pelarian yang melarikan diri dari Vietnam dengan perahu dan kapal setelah berakhirnya Perang Vietnam pada tahun 1975. Penghijrahan ini berlaku paling tinggi pada tahun 1978 dan 1979 tetapi diteruskan sehingga awal 1990-an.

Bilangan orang Vietnam yang meninggalkan Vietnam dan tiba dengan selamat di negara lain berjumlah hampir 800,000 orang antara tahun 1975 dan 1995. Kebanyakan pelarian gagal bertahan di laluan itu, menghadapi bahaya daripada lanun, perahu yang terlalu sesak dan ribut. Tujuan pertama pelarian tersebut ialah negara-negara Asia Tenggara iaitu Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Ketegangan luar yang berpunca daripada pertikaian Vietnam dengan Kemboja dan China pada tahun 1978 dan 1979 menyebabkan penghijrahan majoriti rakyat Hoa yang lebih daripada 170,000 orang melarikan diri ke darat ke wilayah Guangxi, China, dari Utara manakala yang selebihnya melarikan diri dengan perahu dari Selatan. Kemasukan baru ini membawa jumlah pelarian di China kepada kira-kira 200,000 orang. Di samping itu, tentera Vietnam juga mula mengusir etnik Hoa dari Kampuchea yang dikuasai Vietnam lantas mengakibatkan lebih 43,000 orang pelarian yang kebanyakannya keturunan Hoa melarikan diri ke darat ke Thailand. Menjelang tahun 1980, penduduk pelarian di China mencapai 260,000 orang, Pada tahun 2013, rakyat Hoa membentuk 11.5 peratus daripada penduduk Vietnam Amerika Syarikat.

Gabungan sekatan ekonomi, warisan kemusnahan yang ditinggalkan oleh Perang Vietnam, dasar kerajaan Vietnam dan konflik yang lebih jauh dengan negara-negara jiran menyebabkan krisis kemanusiaan antarabangsa. Bertambah lagi pula negara-negara Asia Tenggara semakin tidak mahu menerima lebih banyak orang hanyut tersebut di pantai mereka. Selepas rundingan dan persidangan antarabangsa pada tahun 1979, Vietnam bersetuju untuk mengehadkan aliran keluar rakyat. Negara-negara Asia Tenggara bersetuju untuk mengakui pelarian tersebut buat sementara waktu dan seluruh dunia, terutamanya negara-negara maju, bersetuju untuk mengambil alih sebahagian besar pembiayaan untuk menjaga pelarian-pelarian dan untuk menempatkan mereka di negara mereka.

Dari kem pelarian di Asia Tenggara, kebanyakan pelarian telah ditempatkan semula di negara maju, ada di Amerika Syarikat dan kebanyakan sisanya di Australia, Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom. Beberapa puluhan ribu orang telah dipulangkan ke Vietnam sama ada secara sukarela atau secara paksarela. Program dan kemudahan untuk melaksanakan pemukiman semula termasuk Program Perintah Berundur, Pusat Pemprosesan Pelarian Filipina dan Pelan Tindakan Komprehensif.