Nostalgia

Nostalgia boleh difahamkan sebagai suatu rasa kerinduan, sebak atau keinginan mengenai pengalaman manis yang dirasai suatu masa dahulu atau di suatu tempat yang pernah dijejaki. Perasaan ini sering dikaitkan dengan kecenderungan kepada peristiwa yang berlaku dan orang yang wujud pada zaman dahulu, terutamanya mengenai "zaman kanak-kanak yang indah"; perkara ini dapat dihubungkan kepada rasa yang berat sebelah kepada ingatan tertentu.

Rasa nostalgia ini boleh dicetuskan melalui rangsangan deria bau dan sentuhan yang diproseskan dalam amigdala iaitu kawasan emosi otak manusia. Muzik dan cuaca juga dapat mencetuskan rasa ini dengan sama kuatnya.