Nobat
Nobat (Jawi: نوبة atau نوبت) adalah barisan alat muzik yang digunakan untuk menyambut raja dan sultan kerajaan-kerajaan Melayu serata Asia Tenggara diterapkan dalam pelbagai jenis adat istiadat termasuk pertabalan, sambutan ketibaan orang ternama serta majlis-majlis perkahwinan, kelahiran dan kematian dalam kerabat diraja. Seni yang dibawa dalam pemainan lagu-lagu beralat ini merupakan kesinambungan daripada budaya muzik Islam yang ada di seberapa rantau dunia lain termasuk kerajaan-kerajaan Umaiyah, Andalusia dan Mughal.
Nobat dipercayai melambangkan kedaulatan seseorang sultan seterusnya meninggikan kedudukan sultan dalam masyarakat Melayu tidak sahaja dari cara alat-alat ini dimainkan mendatangkan rasa gerun rakyat - semakin gah muzik nobat dimainkan, semakin besarlah daulat sultan - malah bagaimana alat-alat tersebut dikendali dan dijaga.