My Neighbor Totoro
| Tonari no Totoro | |
|---|---|
Poster Totoro | |
| Pengarah | Hayao Miyazaki |
| Penulis | Hayao Miyazaki |
| Dihasilkan oleh | Toru Hara |
| Dibintangi | Chika Sakamoto Noriko Hidaka Hitoshi Takagi Tanie Kitabayashi Shigesato Itoi Sumi Shimamoto |
| Sinematografi | Hisao Shirai |
| Disunting oleh | Takeshi Seyama |
| Muzik oleh | Joe Hisaishi |
| Diedarkan oleh | Toho (Jepun) |
Tarikh tayangan | 16 April 1988 (Jepun) |
Masa tayangan | 86 minit |
| Bahasa | Jepun |
My Neighbor Totoro (Jepun: となりのトトロ, Hepburn: Tonari no Totoro, "Jiranku Totoro") merupakan sebuah filem anime fantasi dari tahun 1988 yang ditulis dan diarah oleh Hayao Miyazaki, terbitan Studio Ghibli untuk diedarkan oleh Tokuma Shoten. Ia mengisahkan dua adik-beradik bernama Satsuki dan Mei yang bersahabat dengan semangat hutan di kawasan desa Jepun selepas Perang Dunia Kedua. Filam ini memenangi anugerah Grand Prix Anime Animage, anugerah Filem Terbaik Mainichi dan anugerah Filem Terbaik Kinema Junpo, dan Anugerah Khas Blue Ribbon pada tahun 1988.
My Neighbor Totoro menerima sanjungan hebat daripada kalangan pengkritik, malah menjadi ikutan ramai setelah sekian lama dikeluarkan. Filemnya dan juga watak utamanya Totoro menjadi ikon budaya. Filem ini telah memperoleh kutipan seluruh dunia sebanyak US$41 juta setakat September 2019, di samping menjana kira-kira US$277 juta dari jualan video rumah dan US$1.142 billion dari jualan barang dagangan berlesen.
Majalah Empire menyenaraikan My Neighbor Totoro di tangga ke-41 dalam senarai "The 100 Best Films Of World Cinema" terbitan pada tahun 2010 manakala watak Totoro tersenarai di nombor 18 senarai "50 Best Animated Film Characters" oleh majalah yang sama. Majalah Time Out pula menjadikan filem ini sebagai nombor satu dalam senarai filem animasi terulungnya. My Neighbor Totoro juga merupakan filem animasi yang tertinggi rankingnya dalam tinjauan pengkritik mengenai filem terulung sepanjang zaman oleh Sight & Sound pada tahun 2012. Watak Totoro juga diangkat sebagai maskot Studio Ghibli dan juga merupakan antara wajah-wajah anime yang paling terkemuka dalam bidang animasi Jepun. Watak Totoro menduduki tangga ke-24 dalam senarai 25 watak anime terunggul IGN.