Mokhtar Dahari
Dato' Mohamad Mokhtar bin Dahari DSSA DIMP AMN (13 November 1953 – 11 Julai 1991) ialah pemain bola sepak persatuan kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pemain terbaik di Asia pada dekad 1970-an dan terkenal sebagai pemain bola sepak terbaik di Malaysia pada masa itu, seorang legenda dalam arena bola sepak negara. Beliau adalah pemain Malaysia dan salah satu pemain Asia terbaik sepanjang masa.
Beliau diberikan jolokan "Supermokh" kerana kehebatannya di atas padang, kekuatan dan keupayaannya menjaringkan gol sepanjang kerjayanya. Antara detik indah Mokhtar ialah apabila beliau berjabat tangan dengan Diego Maradona sebelum perlawanan persahabatan antara Selangor FA dan Boca Juniors. Kata-kata terkenal beliau ialah "Hidup dan Matiku hanyalah untuk Selangor!" dan "Tiap-tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara. Dan sekiranya apa terjadi (keputusan teruk) nama negara akan terjejas.".
Mokhtar menjaringkan 351 gol dan 134 assist untuk Selangor, Mokhtar beraksi sebanyak 712. Bersama skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, Mokhtar beraksi sebanyak 142 perlawanan (138 bertaraf 'A' antarabangsa) dengan menjaringkan 89 gol dan 15 assist (85 bertaraf 'A' antarabangsa) dan pernah menjadi penjaring terbanyak dunia. Rekod ini diiktiraf secara rasmi oleh FIFA dan Mokhtar antara sebilangan pemain Malaysia yang disenarai ke dalam 'FIFA Century Club'.