Migrain

Migrain
PengkhususanNeurologi
GejalaSakit kepala, loya, serta sensitif terhadap cahaya, suara, dan bau
Permulaan biasa
Sekitar usia pembalighan
TempohBerulang kali, dalam jangka masa panjang
PuncaPersekitaran dan genetik
Sejarah perubatan keluarga, lebih kerap berlaku pada golongan perempuan
Pendarahan subaraknoid, trombosis vena, hipertensi intrakranium idiopatik, tumor otak, sakit kepala tekanan, sinusitis, sakit kepala kluster
PencegahanMetoprolol, valproat, topiramat
Rawatan perubatan
Ibuprofen, parasetamol (asetaminofen), triptan, ergotamina
Kekerapan12.6%
sunting

Migrain ialah gangguan neurologi umum dengan kemungkinan gejala utamanya sakit kepala yang teruk dan berulang. Lazimnya, sakit kepala tersebut mengganggu satu sisi kepala dengan sifatnya yang berdenyut, dengan keamatan yang sederhana sehingga teruk, dan boleh bertahan dari beberapa jam sehingga tiga hari. Gejala selain sakit kepala mungkin termasuk loya, muntah dan sensitif terhadap cahaya, bunyi atau bau. Kesakitan tersebut biasanya menjadi lebih teruk dengan berlakunya serangan migrain selepas senaman fizikal, walaupun senaman fizikal yang kerap boleh menghalang serangan migrain pada masa depan. Sehingga satu per tiga orang yang terganggu dengan migrain mempunyai simptom aura, yakni tempoh gangguan penglihatan yang biasanya singkat yang menandakan bahawa sakit kepala akan berlaku tidak lama lagi. Kadangkala, aura boleh berlaku dengan kemudiannya sedikit sehingga hampir tiada sakit kepala berlaku, tetapi tidak semua orang mempunyai simptom seperti ini.

Migrain dipercayai berpunca daripada campuran faktor persekitaran dan genetik. Kira-kira dua per tiga daripada kes berlaku disebabkan ada sejarah penyakit tersebut di kalangan ahli keluarga. Pengubahan aras hormon juga mungkin memainkan peranan, kerana migrain memberi kesan lebih sedikit pada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan sebelum pembalighan, manakala ia berlaku dua hingga tiga kali lebih tinggi di kalangan wanita berbanding lelaki. Risiko migrain biasanya berkurangan semasa mengandung dan selepas putus haid. Mekanisme asas tidak diketahui sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ia dipercayai melibatkan saraf dan saluran darah otak.

Rawatan awal yang disyorkan adalah dengan pengambilan ubat sakit ringkas seperti ibuprofen dan parasetamol (asetaminofen) untuk sakit kepala, pengambilan ubat anti-loya, serta pengelakkan punca cetusan serangan migrain. Ubat-ubatan khusus seperti triptan atau ergotamina boleh digunakan oleh mereka yang masih lagi migrain selepas mengambil ubat sakit ringkas. Kafein dalam kombinasi dengan bahan analgesik lain adalah selamat dan berkesan dalam rawatan migrain akut.

Kira-kira 15% penduduk di serantau dunia terganggu dengan migrain. Dalam Kajian Beban Global Penyakit yang dijalankan pada tahun 2010, migrain disenaraikan sebagai gangguan ketiga paling lazim di dunia. Ia selalunya bermula pada seawal usia akil baligh dan paling teruk semasa usia pertengahan. Sehingga ke tahun 2016, ia merupakan salah satu punca kecacatan yang paling biasa. Huraian terawal yang berkait rapat dengan migrain terkandung pada kertas papirus Ebers, yang ditulis sekitar 1500 SM sewaktu zaman Mesir purba. Perkataan migrain berasal dari bahasa Yunani ἡμικρᾱνίᾱ (hēmikrāníā), 'sakit pada separuh bahagian kepala', yang terdiri daripada ἡμι- (hēmi-), 'separuh' dan κρᾱνίον (krāníon), 'tengkorak'.