Mary dari Guise

Mary dari Guise
Potret diandaikan oleh Corneille de Lyon, s. 1537
Raja permaisuri Scotland
Tempoh9 Mei 1538 – 14 Disember 1542
Kemahkotaan22 Februari 1540
Ratu pemangku Scotland
Pemangku raja12 April 1554 – 11 Jun 1560
MonarkiMary
Keputeraan22 November 1515
Château des ducs de Bar,
Bar-le-Duc, Duci Lorraine,
Empayar Rom Suci
Kemangkatan11 Jun 1560 (umur 44 tahun)
Istana Edinburgh, Edinburgh, Scotland
PemakamanJulai 1561
Saint-Pierre-les-Dames, Reims, Perancis
Pasangan
  • Louis II, Duke dari Longueville
    (k. 1534; m. 1537)
  • James V
    (k. 1538; m. 1542)
Anakanda
  • Francis III, Duke dari Longueville
  • Louis dari Longueville
  • James, Duke dari Rothesay
  • Robert, Duke dari Albany
  • Mary, Ratu Scotland
KerabatGuise
AyahandaClaude, Duke dari Guise
BondaAntoinette de Bourbon
AgamaRoman Katolik

Mary dari Guise (Perancis: Marie de Guise; Jawi: ميري دري ڬويز ; 22 November 1515 – 11 Jun 1560), juga dipanggil Mary dari Lorraine, ialah Ratu Scotland dari 1538 hingga 1542, sebagai isteri kedua Raja James V. Beliau ialah seorang wanita bangsawan Perancis dari Kerabat Guise, cabang kadet Kerabat Lorraine dan salah satu keluarga paling berkuasa di Perancis. Sebagai bonda Mary, Ratu Scotland, beliau tokoh penting dalam pergolakan politik dan agama di Scotland pada pertengahan abad ke-16, memerintah kerajaan sebagai pemangku bagi pihak anak perempuannya dari 1554 hingga kematiannya pada 1560.

Anak sulung daripada dua belas orang anak yang dilahirkan kepada Claude, Duke dari Guise, dan Antoinette dari Bourbon, pada tahun 1534 Mary berkahwin dengan Louis II d'Orléans, Duke dari Longueville, yang juga merupakan Grand Chamberlain atau maharaja lela besar Perancis. Perkahwinan tersebut diatur oleh Raja François I dari Perancis tetapi tidak kekal lama. Duke dari Longueville meninggal dunia pada tahun 1537, dan raja duda England dan Scotland, Henry VIII dan James V, kedua-duanya melamar Duchess dari Longueville. Selepas banyak desakan daripada François I dan James V, yang menulis surat peribadi melamar-lamar dan mengesyornya, Mary akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan Raja Scotland itu. Selepas kedatangan permaisuri baru di Scotland, James dan Mary berkahwin pada Jun 1538 di Katedral St. Andrews. Mary ditabalkan permaisuri di Biara Holyrood pada 22 Februari 1540, dan perkahwinan itu menghasilkan tiga orang anak berturut-turut: James, Duke dari Rothesay; Robert, Duke dari Albany; dan Mary. Kedua-dua anak lelaki meninggal dunia pada April 1541, cuma berbeza 14 jam, dan apabila James V meninggal dunia pada Disember 1542, pewaris tunggalnya yang masih hidup, Mary, menjadi Ratu Scotland pada usia enam hari.

Kematian James V mendorong Mary dari Guise ke dalam arena politik sebagai ibu kepada Ratu muda Scotland, dengan kerajaan Scotland diamanahkan kepada James Hamilton, Earl ke-2 Arran, sebagai pemangku raja semasa tahun-tahun awal minoriti dan Rough Wooing. Dengan Perjanjian Haddington pada tahun 1548, ratu kecil Mary ditunangkan dengan François, Dauphin Perancis, dan dihantar untuk dibesarkan di Perancis di bawah perlindungan Raja Henri II. Mary dari Guise menggantikan Arran sebagai pemangku pada tahun 1554, dan pentadbirannya dikuasai azam untuk melindungi dan memajukan kepentingan dinasti anak perempuannya, mengekalkan pakatan Perancis-Scotland, dan menegakkan semula kuasa mahkota Scotland. Sepanjang pentadbirannya, Mary bertoleransi terhadap gerakan pembaharuan agama, dan melaksanakan dasar penyesuaian terhadap rakyat Protestannya, walaupun akhirnya dia tidak dapat menghalang Reformasi Scotland.