Maraton Berlin 2022

Maraton Berlin 2022 ialah edisi ke-48 perlumbaan maraton tahunan di Berlin, yang berlangsung pada Ahad, 25 September 2022. Sebagai satu maraton label platinum elit, ia merupakan maraton pertama daripada empat acara Maraton Major Dunia yang akan diadakan dalam tempoh enam minggu. 45,527 pelari dengan 34,879 penamat dari 157 negara telah mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Pelari Kenya, Eliud Kipchoge mencipta rekod dunia maraton baharu, dengan memenangi perlumbaan dengan catatan masa 2:01:09, dan mengalahkan rekod terdahulu milik dirinya pada empat tahun lalu di Berlin, sebanyak 30 saat pantas. Ini ialah kemenangan keempat Kipchoge di Maraton Berlin, menjadikannya pelari kedua untuk memenangi perlumbaan empat kali, selepas pelari Habsyah Haile Gebrselassie.

Bagi kategori wanita, pelari Habsyah, Tigist Assefa memenangi perlumbaan dengan masa 2:15:37, mencipta rekod baru di Berlin dengan perlumbaan maraton keduanya. Catatan Assefa juga merupakan catatan masa maraton wanita ketiga terpantas kini, dan memecahkan rekod peribadinya sebanyak lebih 18 minit.

Atlet kerusi roda Switzerland Marcel Hug meraih kemenangan Maraton Berlin ketujuhnya dengan catatan masa 1:24:56, manakala seorang lagi atlet kerusi roda Switzerland, Catherine Debrunner, memenangi perlumbaan dengan masa 1:36:47 dalam penampilan sulung maratonnya.