Linen

Linen (Jawi: لينين) ialah sejenis tekstil yang dibuat daripada serat tumbuhan flaks.

Linen sangat kuat dan menyerap, serta dapat mengering lebih pantas daripada kapas. Disebabkan sifat-sifat ini, linen selesa dipakai dalam cuaca panas dan disukai untuk digunakan sebagai pakaian. Kain linen boleh dibuat daripada serat tumbuhan flaks, benang, serta ditenun dan dirajut. Linen juga mempunyai ciri-ciri lain yang tersendiri, seperti kecenderungannya untuk berkedut. Menuainya memakan masa yang lebih lama berbanding bahan seperti kapas, namun kedua-duanya serat semula jadi. Ia juga lebih sukar untuk ditenun berbanding kapas.

Tekstil linen merupakan antara yang tertua di dunia; dengan sejarah yang menjangkau beribu-ribu tahun. Gentian flaks yang berwarna ditemui dalam sebuah gua di Caucasus (Georgia masa kini) mencadangkan fabrik linen tenunan daripada flaks liar mungkin sudah digunakan lebih daripada 30,000 tahun. Linen digunakan di tamadun-tamadun purba termasuk Mesopotamia dan Mesir Purba, malah linen disebutkan dalam Alkitab. Dari abad ke-18, industri linen adalah penting dalam ekonomi beberapa negara di Eropah serta koloni-koloni Amerika.

Tekstil dengan tekstur tenunan linen, walaupun dibuat daripada kapas, rami mahupun serat lain yang bukan flaks, juga secara longgarnya dipanggil "linen".