Kenaikan harga minyak semenjak 2003

Dari pertengahan 1980-an hingga September 2003, harga terlaras inflasi untuk setong minyak mentah di NYMEX lazimnya berada di bawah $25/tong. Pada tahun 2004, harganya mencecah $40, kemudian $50. Pelbagai peristiwa telah menyebabkan harganya mencecah $60 pada 11 Ogos 2005, menembusi $75 untuk masa yang tidak lama pada pertengahan 2006, jatuh balik ke $60/tong pada awal tahun 2007, lalu naik mendadak menjadi $92/tong pada Oktober 2007 dan $99.29/tong untuk niagaan hadapan Disember di Bandar Raya New York pada 21 November 2007 Sepanjang separuh pertama tahun 2008, minyak sering mencatat harga tinggi yang memecah rekod. Pada 29 Februari 2008, harga minyak mencapai $103.05 setong, lalu mencapai $110.20 pada 12 Mac, iaitu rekod keenam dalam tujuh hari berniaga. Harga minyak pada 27 Jun 2008 mencecah $141.71 setong, untuk serahan bulan Ogos di NYMAX (selepas baru mencatat $140.56 setong), di sebalik ugutan Libya untuk mengurangkan pengeluaran, serta ramalan presiden OPEC bahawa harga mungkin mencecah $170 menjelang musim panas (di hemisfera utara). Harga setong maksimum paling terkini ialah $143.67 yang tercatat pada 29 Jun 2008.. Harga yang menghampiri takat $95–105 setong (dolar AS 2007) adalah setara dengan rekod terlaras inflasi sepanjang masa pada tahun 1980, tetapi jelasnya telah ditembusi pada suku pertama tahun 2008. Dari segi harga minyak mentah, catatan AS berpandangan bahawa kali terakhir dilihat harga seumpamanya adalah pada 1860-an. Rujuk sini , dan laraskan untuk inflasi. Di luar AS, sejarah inflasi dan harga minyak memang berbeza, tetapi pada hakikatnya, selepas dilaras inflasi, harga yang mencecah $120 setong adalah di luar jangkaan sejak zaman terawal sekali penghasilan minyak komersil. Di AS, penggunaan petrol jatuh 0.5% pada dua bulan terawal tahun 2008 akibat harga semakin tinggi, berbanding penurunan sejumlah 0.4% pada tahun 2007.

Para pengulas berpendapat kenaikan harga sepanjang tempoh ini disebabkan pelbagai faktor, termasuk laporan dari Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dan pihak-pihak lain yang menunjukkan penurunan dalam rizab petroleum, kebimbangan akan kemuncak penggunaan minyak, pergolakan di Timur Tengah, dan spekulasi harga minyak. Sesetengah peristiwa turut menyumbangkan kesan jangka pendek kepada harga minyak, seperti pelancaran misil Korea Utara, krisis antara Israel dan Lebanon, pergolakan mengenai tenaga nuklear Iran, dan "seratus faktor" lagi, termasuk subsidi minyak yang diberi kepada pengguna oleh negara-negara membangun seperti China dan India.