Kejatuhan rejim Assad
| Sebahagian daripada Serangan pemberontak Syria 2024 dalam Perang saudara Syria | |
Bashar al-Assad pada 2024, lebih kurang tujuh bulan sebelum beliau digulingkan | |
| Tarikh | 8 Disember 2024 |
|---|---|
| Lokasi | Syria |
| Dianjurkan oleh | Pembangkang Syria |
| Hasil |
|
Pada 8 Disember 2024, pemerintahan diktator Republik Arab Syria di bawah Parti Ba'thiyah pimpinan Bashar al-Assad ditumpaskan di tengah-tengah serangan besar dilakukan tentera pembangkang diketuai Hayat Tahrir al-Syam dalam perang saudara yang berterusan sejak 2011. Kejatuhan kawalan ke atas bandar raya Damsyik menandakan berakhirnya rejim totalitarian keluarga Assad yang telah memerintah Syria turun-temurun sejak ayah Bashar Hafez selaku presiden pada 1971 berikutan Revolusi Pembetulan.
Ketika pakatan pemberontak yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Selatan mara ke arah Damsyik, muncul laporan bahawa Bashar al-Assad melarikan diri dari ibu kota dengan menaiki pesawat ke Rusia, di mana beliau menyertai keluarganya, sudah dalam keaaan dibuang negeri, dan telah diberikan suaka. Selepas pemergian Assad, pasukan pembangkang mengisytiharkan kemenangan di televisyen negara. Pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri Rusia mengesahkan peletakan jawatan Assad dan pemergiannya dari Syria.
Kejatuhan rejim Assad yang pantas disambut dengan reaksi penuh kejutan di seluruh dunia. Pejuang pembangkang Syria sendiri dilaporkan terkejut melihat betapa cepatnya kerajaan Syria tumbang ekoran serangan mereka. Penganalisis melihat peristiwa itu sebagai tamparan hebat kepada Paksi Penentangan diterajui Iran kerana penggunaan Syria sebagai titik laluan untuk membekalkan senjata dan bekalan kepada sekutu mereka, Hizbullah.