Kedayan
Etnik Kedayan (juga dikenali sebagai Kadayan, Kadaian atau Kadyan) ialah kumpulan etnik yang menetap di Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan, barat daya Sabah, dan utara Sarawak di pulau Borneo. Menurut Biro Bahasa dan Kesusasteraan Brunei, bahasa Kedayan (ISO 639-3: kxd) dituturkan oleh kira-kira 30,000 orang di Brunei, dan telah didakwa terdapat 46,500 lagi penutur di Sabah dan 37,000 di Sarawak. Di Sabah, orang Kedayan kebanyakannya tinggal di daerah selatan Sipitang dan Beaufort, di mana mereka dikira sebagai sebahagian daripada penduduk tempatan Melayu (dan mereka sering dianggap sebagai Orang Brunei disebabkan oleh asimilasi serta faktor perkahwinan campur). Manakala di Sarawak, orang Kedayan kebanyakannya tinggal di bandar-bandar Lawas, Limbang dan Miri (terutamanya di kawasan Subis).
Sebahagian kaum Kedayan di Wilayah Persekutuan Labuan bukannya orang pantai, dan cenderung menetap di kawasan pedalaman. Manakala sebahagian yang lain lagi menetap berhampiran pantai. Rumah-rumah di kampung dibina agak dekat antara satu sama lain, mengikut pola kelompok, dengan taman-taman bercabang. Kaum Kedayan-Brunei menjadi penduduk majoriti dan memegang kuasa politik di pulau bebas cukai itu.