Kandungan bebas

Kandungan bebas, kandungan percuma, maklumat percuma atau maklumat bebas ialah apa-apa jenis karya kreatif, seperti karya seni, buku, program perisian, atau sebarang kandungan kreatif lain yang mempunyai hak cipta yang sangat minimum dan had undang-undang lain pada penggunaan, pengubahsuaian dan pengedaran. Ini adalah karya atau usaha yang boleh dikaji, digunakan, disalin dan diubah suai secara bebas oleh sesiapa sahaja untuk sebarang tujuan termasuk, dalam beberapa keadaan, untuk tujuan komersial. Kandungan bebasmerangkumi semua karya dalam domain awam dan juga karya berhak cipta yang lesennya menghormati dan mengangkat makusd karya budaya bebas.

Di kebanyakan negara, Konvensyen Berne memberikan pemegang hak cipta kawalan ke atas ciptaan mereka secara terasal. Oleh itu, kandungan berhak cipta mesti diisytiharkan bebas atau percuma secara jelas oleh pengarang, yang biasanya dicapai dengan merujuk atau memasukkan pernyataan pelesenan dari dalam karya. Hak untuk menggunakan semula karya sedemikian diberikan oleh pengarang dalam lesen yang dikenali sebagai lesen bebas, lesen pengedaran bebas atau lesen terbuka, bergantung pada hak yang diberikan. Kebebasan yang diberikan kepada pengguna dalam penggunaan semula karya (iaitu, hak untuk menggunakan, mengkaji, mengubah suai atau mengedar karya ini secara bebas, mungkin juga untuk tujuan komersial) sering dikaitkan dengan kewajipan (untuk menyebut pengarang asal, untuk mengekalkan lesen asal kandungan yang digunakan semula) atau sekatan (tidak termasuk penggunaan komersial, melarang media tertentu) yang dipilih oleh pengarang. Terdapat beberapa lesen piawai yang menawarkan pilihan yang berbeza-beza yang membolehkan pengarang memilih jenis penggunaan semula karya mereka yang ingin mereka benarkan atau larang.