Kama Sutra
Kama sutra (bahasa Sanskrit: कामसूत्र; Kāmasūtra; lit. "Prinsip-prinsip Cinta") काम Kama bermaksud keinginan, hasrat, cinta atau nafsu dan सूत्र Sutra bermaksud benang atau rangkaian) , secara umum dikenali di dunia Barat sebagai Kama Sutra, adalah sebuah teks India silam yang dianggap piawai bagi karya mengenai cinta dan hubungan seks.
Teks ini dikaitkan dengan Vatsyayana. Kamasutra bukan semata-mata dan bukan juga terutama sebuah manual seks tentang posisi persetubuhan, tetapi sebaliknya sebuah panduan tentang seni menjalani kehidupan yang baik, sifat cinta, mencari pasangan, mengekalkan kehidupan seksual, dan aspek lain yang berkaitan dengan kebahagiaan dan kenikmatan. Ia merupakan sebuah teks dalam genre sutra dengan ayat-ayat aforisme yang ringkas, yang masih wujud hingga ke zaman moden dengan pelbagai bhasya (ulasan). Teks ini menggabungkan prosa dengan syair dalam metrum anustubh.
Kamasutra mengakui konsep Hindu tentang purushartha, dan menyenaraikan keinginan, seksualiti, serta pemenuhan emosi sebagai salah satu tujuan hidup yang sah. Ia membincangkan kaedah pergaulan, latihan dalam seni agar mampu bergaul dengan baik di masyarakat, cara mencari pasangan, menggoda, mengekalkan kuasa dalam kehidupan berumah tangga, bila dan bagaimana melakukan hubungan intim, posisi seksual, penyakit kelamin, dan lain-lain topik. Secara utama, teks ini membicarakan falsafah dan teori cinta: apa yang mencetuskan keinginan, apa yang mengekalkannya, serta bagaimana dan bilakah ia dianggap baik atau buruk.
Kama Sutra merupakan teks yang paling terkenal dari sekumpulan teks yang dikenali sebagai Kama Shastra (Sanskrit: Kāma Śāstra) . Ia merupakan sebuah karya yang banyak diterjemahkan ke dalam bahasa India mahupun bukan India, dan telah mempengaruhi banyak karya sekunder selepas abad ke-4 M., begitu juga seni India yang memperlihatkan pengaruh ini melalui kelimpahan relief dan arca berkaitan tema cinta di kuil-kuil Hindu kuno. Antaranya, Khajuraho di Madhya Pradesh telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Di Rajasthan pula terdapat sebuah kuil yang memaparkan hampir semua bab utama dan posisi seksual sebagai ilustrasi kepada Kamasutra.
Menurut Wendy Doniger, Kamasutra menjadi "salah satu buku yang paling banyak dicetak rompak dalam bahasa Inggeris" tidak lama selepas diterbitkan pada tahun 1883 oleh Richard Burton. Edisi Eropah pertama oleh Burton ini tidak sepenuhnya mencerminkan isi sebenar Kamasutra kerana beliau telah mengubah suai terjemahan bersama oleh Bhagavanlal Indrajit dan Shivaram Parashuram Bhide dengan Forster Arbuthnot agar sesuai dengan cita rasa era Victoria abad ke-19.