Kabinet Negeri Sarawak
Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak atau sering digunakan sebagai Kabinet Kerajaan Sarawak ialah cabang eksekutif bagi kerajaan Sarawak, Malaysia. Majlis ini terdiri daripada Premier dan beberapa anggota Dewan Undangan Sarawak (DUS) yang terpilih.
Majlis ini adalah serupa dalam struktur dan peranan Kabinet di peringkat persekutuan, cuma saiznya lebih sederhana dan menyeluruh. Oleh kerana tanggungjawab persekutuan dan wilayah Sarawak berbeza, terdapat beberapa portfolio yang berbeza antara kerajaan Persekutuan (Malaysia) dan kerajaan Sarawak.
Portfolio di wilayah Sarawak digelar sebagai kementerian (ministry), manakala anggota Majlis ini dipanggil sebagai Menteri (Minister). Menteri-menteri dibantu oleh seorang atau dua orang penolong menggunakan gelaran Timbalan Menteri (Deputy Minister). Timbalan Menteri bukan anggota Majlis.