Jurutera tempur
Jurutera tempur, juga dikenali sebagai askar jurutera (pioneer) atau sapper (SAPPER adalah gelaran umum kepada semua pegawai dan anggota jurutera. Gelaran SAPPER juga adalah merujuk kepangkatan seseorang anggota jurutera yang bersamaan dengan prebet, trooper dan signaller), ialah sejenis anggota tentera yang menjalankan tugas kejuruteraan ketenteraan untuk menyokong operasi tempur pasukan darat. Jurutera tempur melaksanakan pelbagai penugasan kejuruteraan tentera, termasuk peperangan terowong dan peperangan periuk api, serta tugasan pembinaan dan pemusnahan di dalam dan luar zon pertempuran.
Askar jurutera membantu pergerakan pasukan sahabat sambil menghalang pergerakan musuh. Mereka juga memastikan daya tahan pasukan sahabat dengan membina kedudukan bertahan, perkubuan dan jalan raya. Mereka menjalankan misi pemusnahan dan membersihkan medan periuk api secara manual atau menggunakan kenderaan khas. Misi biasa jurutera tempur termasuk pembinaan dan penembusan parit, perangkap kereta kebal dan halangan serta kubu pertahanan; pemasangan halangan dan pembinaan bunker; pembersihan dan peninjauan laluan; pembinaan atau pemusnahan jambatan dan jalan; pemasangan dan pembersihan periuk api darat; serta penerobosan bersama unit tempur lain. Lazimnya, jurutera tempur juga dilatih dalam taktik infantri dan, apabila diperlukan, bertugas sebagai infantri sementara.