Jeanne d'Arc
Jeanne d'Arc (6 Januari 1412 - 30 Mei 1431, nama bahasa Inggeris: Joan of Arc) atau nama lamanya Jehanne D'arc adalah seorang pahlawan negara Perancis dan merupakan seorang santa dalam agama Kristian Katolik. Di Perancis dia digelar Jeanne la Pucelle yang bererti Jeanne "si dara" atau "si perawan".
Beliau berasal dari sebuah keluarga petani yanghidup semasa berlakunya Perang Seratus Tahun, sebuah perang antara England dan Perancis. Pada kala itu, England menduduki Normandie, sebuah daerah di utara Perancis. Sekitar 1424, Jeanne mula mendapat visi mengenai Malaikat Mikail serta Santa Catherine dan Santa Margaret, yang menyuruhnya mengusir tentera Inggeris. Dia kemudian berusaha menghadap putera raja Charles VII di Chinon. Baginda menghantar beliau menyertai Pengepungan Orléans ketika beliau masih berusia 17 tahun sambil berkelengkapan seumpama kesateria lelaki dan menyertai misi bantuan ke Orléans. Dia berjaya mempengaruhi sekurang-kurangnya moral tentera Perancis sehingga berjaya mematahkan pengepungan itu pada Mei 1429, menukar gelombang peperangan beralih kepada tentera Perancis.
Pada Mei 1430, dalam satu peperangan kecil di Compiègne, sekutu tentera Inggeris, puak Burgundy berjaya menangkapnya dan dia dibicarakan antara lain kerana dituduh menyeleweng dan memakai pakaian lelaki. Lalu dia dihukum mati dengan dibakar hidup-hidup, dan abunya dibuang di Sungai Seine. 25 tahun selepas itu, suatu mahkamah penyiasatan yang diberi kuasa oleh Paus Callixtus III memeriksa perbicaraan tersebut mendapati beliau tidak bersalah; beliau diampunkan secara rasminya malah diisytiharkannya sebagai martir. Jeanne dibeatifikasi pada 1909 dan dikanonkan pihak Paus pada 1920.