Jantung buatan sepenuhnya

Jantung Buatan Sepenuhnya (Total Artificial Heart) atau dikenali juga sebagai jantung tiruan ialah satu peranti yang menggantikan kedua-dua ruang bawah jantung iaitu ventrikal kiri dan ventrikal kanan disebabkan kegagalan jantung. Kegagalan jantung adalah satu keadaan yang mana jantung gagal berfungsi secara normal iaitu jantung tidak dapat mengepam darah ke seluruh tubuh badan secukupnya. Jantung tiruan digunakan sebagai jantung gantian sementara pesakit menunggu penderma jantung untuk pemindahan jantung. Dengan menggunakan jantung tiruan ini membolehkan pesakit melakukan aktiviti harian dan tidak perlu berada di hospital.

Jantung tiruan ini digerakkan oleh bateri. Alat ini juga mempunyai pengecas bateri dan monitor. Jantung tiruan direka dengan berat kurang satu kilogram dan berkeupayaan untuk mengepam darah sehingga 10 liter seminit. Jangka hayat jantung tiruan boleh digunakan sehingga melebihi 5 tahun. Saiz peranti jantung tiruan yang terkini adalah lebih kecil dan ringan.

Sistem jantung tiruan ini merangkumi pam yang ditanam di dalam dada pesakit dan satu komponen terdiri daripada pam kawalan dan bateri berada di luar tubuh pesakit. Peranti jantung tiruan akan ditanam bersama jantung pesakit bagi mengambil alih fungsi ventrikel kiri untuk mengepam darah terus ke dalam pam mekanikal yang kemudiannya akan mengepam darah ke seluruh badan pesakit.