Infinatez
Infinatez (INF) merupakan sebuah kumpulan vokal harmoni Malaysia yang memperjuangkan RnB, Soul dan A Cappella dengan suntikan unsur-unsur seperti pop, nu jazz dan hip hop, dan dianggotai oleh lima orang vokalis yang mempunyai tahap vokal, keistimewaan dan kemahiran yang tersendiri.
Infinatez atau singkatan yang sering digunakan, INF, dianggotai oleh Andy Ariffin Merican (Andy, lahir 1983), Muhammad Yasir Syah Abdul Aziz (Syahans, lahir 1985), Danial Mohd Hashim (Danial, lahir 1983), Mohd Rafiq Mohd Taib (Rafiq, lahir 1984) dan Alvin Mahathir Yunus (Alvin, lahir 1981) dan sepanjang penubuhannya sejak tahun 2004 melihat Infinatez mengalami fasa perubahan ahli sebanyak tiga kali.
Pada pertengahan tahun 2005, Infinatez telah menerbitkan demonstrasi pertama mereka, diberi tajuk "The Beginning" yang mengandungi empat buah lagu, termasuk intro dan outro asli, ciptaan dan terbitan mereka sendiri. Antara pengaruh muzik Infinatez adalah Boyz II Men, Innuendo, VE, Ruffedge, All 4 One, Jodeci, Azyet, Dru Hill, Drop N Harmony, dan Sixth Day.