Hutan simpan di Malaysia
Hutan simpanan kekal, hutan simpan dan estet hutan kekal (bagi Sarawak) di Malaysia merupakan kawasan rizab yang dilindungi untuk spesies pokok (flora) dan hidupan liar (fauna) secara meliar yang dikawal rapi oleh kerajaan negeri. Hutan simpan bukan sahaja sebagai kawasan rizab perlindungan flora dan fauna tetapi ia juga dijadikan di kawasan pengeluaran hasil-hasil hutan seperti kayu balak dengan dikelaskan fungsinya sebagai hutan pengeluaran.
Kawasan hutan simpan ini tidak boleh diceroboh atau melakukan aktiviti terlarang seperti memasuki hutan simpan tanpa permit, mengambil hasil hutan tanpa permit atau mana-mana seksyen yang boleh melanggar Akta Perhutanan Negara 1984 (APN) untuk Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 bagi Sabah.
Semua hidupan flora di Malaysia khususnya di kawasan hutan simpan dari pesisiran pantai hingga kawasan tanah tinggi didominasi oleh keluarga pokok Dipterocarpaceae yakni meranti / balau (Shorea spp.), keruing (Dipterocarpus spp.), merawan (Hopea spp.), cengal (Neobalanocarpus), kapur (Dryobalanops spp.), mersawa (Anisoptera spp.) dan resak (Vatica spp.).
Di Malaysia, terdapat pelbagai hutan di Malaysia Barat dan Malaysia Timur iaitu hutan hujan tropika bagi kawasan darat, hutan paya laut bagi kawasan pinggir laut dan hutan paya gambut bagi kawasan bertanah lembap.