Heliosentrisme

Heliosentrisme (juga dikenali sebagai model heliosentrik) merupakan model astronomi gantian melibatkan Bumi dan semua planet lain berorbit mengelilingi Matahari yang merupakan pusat alam semesta. Dari segi sejarah, heliosentrisme bertentangan dengan geosentrisme, yang meletakkan Bumi di tengah. Tanggapan bahawa Bumi berputar mengelilingi Matahari telah dicadangkan seawal abad ke-3 SM oleh Aristarchus dari Samos, yang telah dipengaruhi oleh konsep yang dikemukakan oleh Philolaus dari Croton (c. 470 – 385 SM). Pada abad ke-5 SM, ahli falsafah Yunani Philolaus dan Hicetas mempunyai pemikiran pada masa yang berbeza bahawa Bumi berbentuk sfera dan berputar mengelilingi api pusat "mistik", dan bahawa api ini mengawal alam semesta. Pada zaman pertengahan Eropah, walau bagaimanapun, heliosentrisme Aristarchus tidak menarik perhatian, mungkin disebabkan oleh kehilangan karya saintifik pada zaman Helenistik.

Hanya pada abad ke-16, model matematik sistem heliosentrik telah dibentangkan pada zaman Renaissance oleh ahli matematik, ahli astronomi, dan ulama Katolik, Nicolaus Copernicus, yang membawa kepada Revolusi Copernicus. Pada tahun 1576, Thomas Digges menerbitkan sistem Copernicus yang diubah suai. Pengubahsuaiannya menghampiri pemerhatian moden. Pada abad berikutnya, Johannes Kepler memperkenalkan orbit elips, dan Galileo Galilei mempersembahkan pemerhatian sokongan yang dibuat menggunakan teleskop.

Dengan pemerhatian William Herschel, Friedrich Bessel, dan ahli astronomi lain, telah disedari bahawa walaupun Matahari berhampiran dengan pusat bari Sistem Suria, tetapi ia bukanlah pusat alam semesta. Astronomi moden tidak menemui mahupun menetapkan mana-mana pusat alam semesta.