Grafiti Esmet-Akhom

Foto grafiti tersebut (kiri) dan lukisan terperinci (kanan)

Grafiti Esmet-Akhom, juga dipanggil dengan designasi Filae 436 atau GPH 436, ialah inskripsi Mesir purba terakhir yang diketahui ditulis dalam hieroglif Mesir, dipahat pada 24 Ogos 394 Masihi. Inskripsi ini, yang dipahat di kuil Filae di selatan Mesir, telah dibuat oleh seorang pendeta bernama Nesmeterakhem (atau Esmet-Akhom) dan mempunyai ukiran dewa Mandulis serta teks yang mana Nesmeterakhem berharap inskripsinya ini akan kekal "untuk semua zaman dan selama-lamanya". Inskripsi ini juga mengandungi teks dalam tulisan demotik, dengan kandungan yang serupa.

Kuilnya di Filae merupakan tapak pemujaan yang terkenal bagi agama Mesir purba, kerana ia dipercayai adalah salah satu makam dewa Osiris. Dewa utama yang disembah di situ ialah Isis, saudara perempuan dan isteri Osiris, namun beberapa dewa lain juga direkodkan pernah disembah di kuil tersebut. Beberapa dewa yang berasal dari Nubia di selatan, antaranya Mandulis, turut dipuja. Inskripsi oleh Nesmeterakhem ini adalah dari selepas kuil-kuil berhala Mesir ditutup oleh maharaja Rom Theodosius I pada tahun 391 atau 392; kuil Filae terselamat kerana ia berada di luar sempadan Empayar Rom.

Nesmeterakhem tergolong dalam keluarga pendeta yang menjadi kakitangan kuil di Filae; disebabkan pengkristianan Mesir, ada kemungkinan bahawa kepercayaan kepada dewa-dewi Mesir lama pada zaman Nesmeterakhem tidak bertahan selepas keluarga terdekat beliau sendiri. Tidak lama selepas inskripsi tahun 394 ini dibuat, kemungkinan tidak ada lagi orang yang masih hidup yang boleh membaca hieroglif. Grafiti-grafiti dan inskripsi terkemudian yang diketahui berasal dari Filae, tetapi ia semua ditulis sama ada dalam tulisan demotik atau bahasa Yunani. Kuil Filae, yang nampaknya sentiasa dikendalikan oleh ahli keluarga Nesmeterakhem, akhirnya ditutup atas arahan Maharaja Justinianus I antara tahun 535 dan 537, menandakan berakhirnya sisa terakhir budaya Mesir purba.