Muzik gospel
Gospel adalah sebuah genre muzik yang wujud di Amerika Syarikat dicirikan oleh vokal yang dominan (sering kali dengan menggunakan harmoni yang kuat), liriknya yang bersifat keagaaman khususnya agama Kristian – nama genre ini sendirinya sempena nama Inggeris kitab Perjanjian Baru pegangan umat Kristian turunan kata Inggeris Kuno gōd-spell yang bermaksud "khabar baik" meminjam terjemah ungkapan Bahasa Yunani Kuno: εὐαγγέλιον euangélion sempena isi kandungan kitab tersebut tentang kedatangan semula tokoh utama agama ini iaitu Yesus didambakan kalangan penganutnya.
Istilah gospel song mula masyhur pada 1874 seterbit buku Gospel Songs: A Choice Collection of Hymns and Tunes nukilan Philip Bliss menghimpunkan gita-gita puja yang dikembangkan semasa berlakunya pencarian kerohanian besar-besaran (Great Awakening) dialami serata Amerika pada tahun 1850-an. Pengaruh utama dari kalangan masyarakat kulit hitam yang pernah diperhambakan di mana mereka sering mendendangkan lagu-lagu digubah sendiri untuk menaikkan semangat sambil membanting tulang sebelum kemudian terbawa ke dalam gereja-gereja persembahyangan mereka yang utama beraliran Pentekostalisme. Gita-gita ini segera diterima jemaah-jemaah gereja pedalaman bermula pada lewat abad ke-19 menerus ke abad ke-20 dengan banyak lagu dikaryakan memenuhi kehendak mereka; ia dimangkinkan ketibaan teknologi siaran radio yang mampu menyebarkan gita-gita ini sebanyaknya ditambahkan buku himpunan gita yang diulang terbit beberapa kali dalam setahun.
Subgenrenya mencakup gospel kontemporari bandar dan gospel moden (kini lebih lazim disebut pujian dan penyembahan, atau musik Kristen kontemporer). Kebanyakan bentuk gospel menggunakan alat piano dan/atau organ Hammond, dram, gitar bas dan, kini semakin banyak pula, gitar elektrik.