Gerakan Bahasa Bengali
Gerakan Bahasa Bengali, juga dikenal sebagai Gerakan Bahasa (Benggali: ভাষা আন্দোলন; Bhāṣā āndōlana), adalah usaha politik di Pakistan Timur (kini Bangladesh) agar bahasa Bengali diakui sebagai bahasa rasmi Pakistan. Pengakuan tersebut akan memperbolehkan bahasa Bengali digunakan dalam pemerintahan.
Ketika negara Pakistan dibentuk pada tahun 1947 hasil pembahagian jajahan India, kedua-dua wilayah Pakistan Timur dan Pakistan Barat berbeda secara budaya, geografi dan bahasa. Pada tahun 1948, pemerintah Pakistan menyatakan bahasa Urdu sebagai satu-satunya bahasa rasmi , mengakibatkan munculnya penentangan dari penduduk Pakistan Timur yang berbahasa Bengali. Pemerintah lalu melarang pertemuan dan rapat umum sebagai akibat meningkatnya ketegangan puak dan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah Pakistan. Para mahasiswa dari Universiti Dhaka dan aktivis politik lainnya melancarkan tunjuk perasaan pada tanggal 21 Februari 1952, di mana tunjuk perasaan tersebut memuncak dengan serangan ke atas pihak penunjuk perasaan oleh polis Pakistan. Konflik ini berlarutan selama bertahun-tahun sehingga pemerintah pusat akhirnya memberikan status rasmi kepada bahasa Bengali tahun 1956. Pada tahun 2000, UNESCO mengisytiharkan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa sebagai tanda memperingati gerakan bahasa ini serta memperjuangka hak etno-linguistik semua bangsa di seluruh dunia.
Gerakan ini merupakan salah satu faktor munculnya pergerakan kebangsaan dalam kalangan orang Bengali. Di Bangladesh, 21 Februari dirayakan sebagai Hari Gerakan Bahasa. Monumen Shaheed Minar didirikan di Dhaka untuk mengenang pergerakan ini.